Tuesday, June 19, 2007

MALAS ITU PEMALAR KALAU...

Rata-rata pelajar saya ini lemah dalam Matematik, ada sorang dua je yang betul-betul boleh tahan. Maka saya perlu selalu memikirkan kaedah yang sesuai untuk mengajar mereka. That's the most challenging part!

Habis je topik ungkapan algebra, saya menyambung tajuk rumus algebra untuk Matematik Ting. 3. Konsep asas pertama yang mesti pelajar faham dalam tajuk ini adalah berkenaan pemboleh ubah dan pemalar (variables and constants).

Saya pun berceloteh panjang nak memahamkan mereka tentang konsep-konsep asas tersebut. Waktu saya menerang dan memberikan contoh mengenai pemboleh ubah dan pemalar ni, ada sorang dua pelajar di belakang kelas yang sungguh tawadhu', asyik mengangguk je...tido le tu! Ada sorang pelajar yang betul-betul menarik perhatian saya, Azwande. Tidonye lain macam, tersengih-sengih...berangan agaknya!

"Azwande, apa contoh pemalar?" terkejut dengan pertanyaan saya, dia terus angkat kepala dan menjawab, " malas." Entah bila saya mengajar begitu, suka-suka hati dia je menjawab. Tetapi saya tidak marah.

"Ya betul...malas itu satu pemalar kalau sejak dari Darjah 1 lagi sampai le sekarang dah Tingkatan 3 ni pun, kamu masih lagi malas. Malas kamu itu tidak pernah berubah, 'nilainya' tetap...maka itulah pemalar. Terima kasih kepada Azwande kerana memberikan satu contoh yang sangat baik," saya menjawab sambil tersenyum. Berderai tawa seisi kelas. Dia cuma tersengih malu.

Kini, setiap kali sebelum memulakan pelajaran, saya pasti akan bertanya dia, "Azwande, malas kamu masih pemalar atau sudah jadi pemboleh ubah?" Dia akan ketawa mendengar pertanyaan saya.

BIARLAH HUJAN TURUN...

Sekarang ini musim hujan. Saya paling suka kalau hujan turun pada sebelah malam. Kalau waktu Maghrib tu kilat dan guruh dah mula berdentum, saya berdoa panjang moga hujan rahmat akan turun. Bukan sekadar enak untuk melelapkan mata, tapi saya gembira untuk ke sekolah esoknya.

Sekolah saya terletak betul-betul di kaki sebuah bukit. Besar bukitnya. Saya selalu takut nak pandang ke arah bukit tu directly sebab banyak sangat nampak guanya...takut ternampak makhluk yang bukan-bukan. Bentuk-bentuk batu yang terbentuk akibat proses luluhawa dan hakisan kadang-kadang menyeramkan saya. Lagi satu, bukit tu selalu mengganggu line handset. Kalau guna 012, jenuh 'mengusung' handset untuk mencari line! Tapi ada satu perkara yang paling saya suka tentang bukit tu.

Bila hujan pada malam hari, esoknya kabus tebal akan terbentuk dari puncak hinggalah ke kaki bukit...bahkan selalu juga akan ada kabus dalam kawasan sekolah. Udara jadi sangat dingin dan nyaman. Saya suka sangat! Rasa sihat dan segar bila menyedut udara di kaki bukit itu. Lapang fikiran. Sungguh tenang dan sangat mendamaikan! Orang alam sekitar seperti saya, instict terhadap alam memang kuat. Kalau malamnya hujan, esoknya saya akan pegi ke sekolah lebih awal dari hari-hari lain. Saya suka berjalan-jalan dalam kawasan sekolah, meredah kabus menyedut udara segar...rasa macam kat Bukit Fraser pulak!

SIAPALAH YANG AKAN MENGAJI UNTUK SAYA?

Langsung terkesan dengan peristiwa di rumah Afif, bila saya masuk mengajar ke kelas Ting. 6 pada hari berikutnya, saya jadi sebak. Di akhir kelas, tanpa sedar saya bertanya perlahan, "Kalaulah saya mati, siapalah yang akan mengaji untuk saya macam kamu mengaji untuk arwah mak Afif?" Kelas hening seketika. Air mata yang sudah bergenang saya tahan sungguh-sungguh. Saya tidak mahu menangis di hadapan anak-anak ini! "Kami ada ustazah." Saya tidak tahu siapa yang menjawab begitu, tapi perkataan-perkataan itu sangat jelas masuk ke telinga saya saat saya sedang mengempang sendu yang hampir pecah.

"Esok, lusa, tahun depan...bila-bila sekali pun..kalaulah kamu semua dengar saya meninggal, kalau kamu tak suka saya pun, saya mintak, tolonglah hadiahkan sekurang-kurangnya Fatihah untuk saya. Saya ni bukan ada siapa-siapa...mak ayah je. Adik beradik pun tak ramai." Saya menitipkan pesan. "Tak apa ustazah, nanti Wan mesti suruh anak-anak dia mengaji sekali untuk ustazah, dia kan baik?" usik Ainun. Spontan saya tertawa bila terpandang wajah Wan Ismail, pelajar terbaik SPM tahun lalu yang tersenyum malu. Aduhai anak-anak didikku!

"Di sanalah Zakaria berdo'a kepada Tuhannya seraya berkata, "Ya Tuhanku, berilah aku dari sisi Engkau seorang anak yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Pendengar Do'a."
(38, ali-Imran)

"Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan solat, ya Tuhan kami, perkenankanlah do'aku."
(40, Ibrahim)

DARIPADA-NYA KITA DATANG, KEPADA-NYA JUALAH KITA AKAN KEMBALI. AL-FATIHAH...

" Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sahajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan."
(185, ali-Imran)

Setelah 2 minggu cuti penggal, saya kembali ke sekolah dengan timbunan kertas-kertas jawapan peperiksaan yang telah ditanda. Dalam sibuk-sibuk review kembali soalan-soalan peperiksaan dengan para pelajar, pagi Ahad tu, 10 Jun 2007, saya menerima khabar, ibu kepada pelajar saya, Afif, kembali ke rahmatullah akibat breast cancer. Saya tergemap dalam keharuan. Afif, yang pernah saya guris perasaannya secara tak sengaja sebelum ini (saya bercakap tentang ayah, sedangkan saya tidak tahu ayahnya telah meninggal dunia) kini kehilangan ibu pula. Ayahnya kembali menghadap Ilahi bulan Disember yang lalu, selang 6 bulan ibunya pula yang menyusul. Beratnya dugaan yang Allah berikan kepadanya. Si bongsu baru berusia 8 tahun. Saya tidak mampu membayangkan situasinya. Kalaulah saya yang ditimpa ujian demikian, saya pun tidak pasti adakah saya mampu untuk melaluinya dengan tabah. Anak didik yang saya kenal ini memang kuat semangatnya. Dan saya mendoakan semoga kekuatan itu terus kekal bersamanya, amin.

Salam takziah untuk Afif sekeluarga. Al-fatihah untuk Allahyarhamah bonda.

Satu hal yang saya sangat terkilan, saya pernah berjanji dengan dia untuk menziarahi ibunya sebelum ini. Dah 2, 3 kali saya lalu depan rumahnya dalam perjalanan nak ke mana-mana, tapi tak pernah berkesempatan untuk singgah. Kadang-kadang saya lalu seorang diri, rasa segan nak singgah. Bila lalu bersama emak, ada sahaja yang menghalang...dah nak Maghrib le, hujan le, nanti le hari lain le singgah...macam-macam alasan. Akhirnya, saya mendapat khabar duka ini. Itulah bahananya kalau suka sangat menangguh-nangguh!!

Waktu rehat, saya dan guru-guru lain mencuri kesempatan untuk menziarahi keluarganya. Sewaktu kami sampai, saya lihat pelajar-pelajar Tingkatan 6 semuanya sudah ada di situ. Rupanya mereka bertolak lebih awal dari kami. Hati saya sangat tersentuh bila melihat anak-anak berwajah jernih itu bersila sopan bersama Afif dan sedang mengaji tidak jauh dari jenazah. Di satu sudut lain, pelajar perempuan juga sedang melakukan perkara yang sama. Tanpa disuruh, tanpa dipaksa...semuanya dilakukan atas keikhlasan dan kesedaran diri masing-masing. Yang lelaki menunggu sehingga selesai solat jenazah dan jenazah dikebumikan.

Duhai...itulah antara sebabnya kenapa saya sangat mencintai dunia pendidikan berbanding bidang kerjaya yang lain. Di mana kan saya ketemui anak-anak sebaik ini kalau bukan dalam dunia pendidikan? Afif, Wan, Akkal, Akmal, Shafiq, Amirah, Ainun, Aishah, Wani dan Fariza...kalian anak-anak yang sangat membanggakan saya! Akhlak anak-anak bermula dari rumah membawa ke sekolah. Ibu bapa dan guru sama-sama mengajar dan mendidik. Aduhai guru, berbahagialah kalian kiranya anak-anak didik kalian 'menjadi' akhlaknya, cerminan kejayaan hasil didikan kalian. Padan benarlah guru digelar mualim, muadib, mursyid dan murabbi.

MACAM-MACAM ADA!

Abah saya seorang guru, emak saya seorang guru, abang saya seorang guru dan saya pun seorang guru (kalau boleh dipanggil guru). Bezanya abah, mak dan abang adalah guru terlatih yang diiktiraf dari maktab dan universiti. Saya pulak, guru yang berlatih sendiri! hehehe..

Abah dan mak saya mengajar subjek Bahasa Melayu, abg saya lulusan al-Azhar mengajar Bahasa Arab dan saya mengajar Bahasa Inggeris (juga Matematik). Cuti penggal pertama, semua berkumpul di rumah dan berlonggoklah kertas-kertas jawapan peperiksaan. Masing-masing sibuk menanda kertas jawapan. Satu petang, ibu saudara saya datang ke rumah, "ni bahasa melayu, ni bahasa arab, ni bahasa inggeris...amboi, semua ada!" Sampuk adik saya, "tak pe, nanti orang ajar Mandarin ke Tamil ke pulak!" 1 rumah, banyak bahasa, meriah jadinya!

Macam-macam rupa jawapan pelajar saya...yang bahasa Inggeris, tunggang terbalik grammar nya...broken English pun ada! We can 'letak' security...Pasaran saham yang sepatutnya 'stock market', dah jadi 'share market' (ntah siapa yang ngajar)...kata ganti nama untuk she, he, her, his pun masih tertukar-tukar lagi....belum lagi present past tense nya! Yang sekadar salin soalan balik pun ada! Dalam geram, saya sakit perut jugak tergelak bila baca jawapan budak-budak ni. Siap korang bukak sekolah nanti!!

SELAMAT HARI GURU


Berburu ke padang datar,
Dapat rusa berbelang kaki,
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.

16 Mei...dari jam 6.30 pagi lagi handset saya sudah sibuk. Mesej masuk bertalu-talu untuk ucapan hari guru. Hari doktor tak ada, hari lawyer tak ada, hari engineer tak ada, hari perunding alam sekitar pun tak ada! Maka, saya berbangga menjadi seorang guru J Kali pertama saya menyambut hari guru sebagai seorang guru, memang sangat indah perasaannya. Saya mendapat hadiah pasu comel berwarna hijau pucuk pisang daripada pelajar-pelajar Ting.6...sangat comel! Terima kasih

Walaupun minggu peperiksaan, pelajar-pelajar masih sempat lagi mengucapkan Selamat Hari Guru...saya sangat menghargainya. Dalam banyak-banyak ucapan sama ada secara lisan mahu pun mesej yang saya terima, ada satu mesej yang sangat mengesankan jiwa saya, "Selamat Hari Guru ustazah. Semoga terus kekal dengan kerjaya ini." Ya, doa saya pun begitulah. Saya mahu terus menjadi guru, kalau diizinkan Allah.


SELAMAT HARI GURU UNTUK SEMUA WARGA PENDIDIK...TERUTAMA UNTUK BEKAS GURU-GURU DAN PENSYARAH SAYA. KERANA JASA KALIANLAH, SAYA BERADA DI SINI HARI INI.

CABUT RUMPUT? ISH, MACAM LEMBU LA PULAK!

Selepas habis beberapa subtopik untuk tajuk Matriks dalam Matematik ting. 5, saya membuat semakan in class untuk kerja-kerja sekolah pelajar. Wah...semua pelajar lelaki tak buat kerja sekolah!! Marah mula bertapak di hati. Mujurlah pelajar-pelajar perempuan ramai yang rajin-rajin. Sorang-sorang saya ajukan soalan kenapa tak buat kerja rumah yang saya beri. Jawapannya mudah, tapi cukup menyakitkan hati saya, "tak reti le ustazah."

"Kalau tak reti, kenapa tak tanya saya? Dah berpuluh kali saya pesan, kalau tak faham tanya saya. Kenapa tak de sorang pun yang datang jumpa saya untuk bertanya? Dah seminggu lebih kita belajar bab matriks ni!" Saya beristighfar dalam hati, mahu mengawal darjah kemarahan yang semakin meningkat. Mentang-mentang saya baik dengan diaorang selama ni, ambik kesempatan ye?! Spontan saya keluar dari kelas dan pegi ke bilik guru disiplin, pinjam rotan.

"Ok, nampak tak rumput kat padang tu? Sekarang pilih, nak kene rotan ke nak cabut rumput?" saya memberi pilihan kepada mereka. "Rotan le ustazah." Jawab dia orang ramai-ramai. Saya sebenarnya langsung tak berniat nak merotan mereka. Menjentik telinga adik-adik pun saya tak gamak, inikan pulak nak merotan anak-anak orang. Sengaja je saya pinjam rotan tu, nak menakutkan dia orang.

"Ok, semua keluar pegi padang. Saya nak kamu cabut semua kemuncup yang ada kat padang tu, 10 minit!" saya memberi arahan. "Ala, rotan le ustazah. Segan le cabut rumput." 2,3 orang pelajar cuba merayu simpati. "Takde, keluar sekarang," saya bertegas. "Lor, tadi kata boleh pilih nak rotan ke cabut rumput," rungut sorang pelajar.

"Saya suruh kamu buat kerja rumah dan kamu memilih untuk tak ikut suruhan saya tu. So, sekarang saya juga berhak memilih untuk tidak mengikut permintaan kamu." Sejak menjadi cikgu ni, saya memang dah pandai bab-bab menjawab dengan pelajar ni. Maka keluarlah pelajar-pelajar ini ke padang tak jauh dari kelas dia orang. Saya mengikut dari belakang. Matahari pukul 10 pagi dah agak terik. Seluruh tingkatan 1 sampai 3 menjenguk-jenguk keluar kelas melihat apa yang sedang dilakukan oleh pelajar-pelajar senior mereka, termasuklah guru-guru.

"Malu?" tanya saya kepada sorang pelajar. "Alah, muka kami memang dah famous sangat bab-bab kena denda ni ustazah. Orang pun dah tak heran," jawab pelajar tersebut.

"Tapikan...banyak-banyak kene denda, inilah kali pertama kami kene denda cabut rumput camni. Ish, macam lembu le pulak!" sampuk sorang temannya. "Tau tak pe," saya menjawab selamba. Jangan tanya apa logiknya saya menghukum mereka mencabut rumput, kerana waktu itu, hanya itulah option yang saya terfikir!