Saya pun tak pasti bila sebenarnya lahir kecintaan saya untuk menjadi seorang guru. Semasa di peringkat sekolah, saya tidak pernah bercita-cita untuk menjadi seorang guru! Belajar di sebuah sekolah berasrama penuh (sekolah menengah sains), saya lebih berminat untuk menjadi seorang saintis, dan alam sekitar adalah antara minat saya. 'Rasa' untuk menjadi seorang guru telah ada ketika hujung-hujung pengajian saya di universiti. Dan perasaan itu bertambah kuat sewaktu saya menyambung pengajian di peringkat sarjana. Ketika itu saya tinggal menyewa dan saya mendapat tahu sebuah rumah anak-anak yatim sedang mencari sukarelawan untuk mengajar dan membantu anak-anak tersebut dalam pelajaran. Saya memberanikan diri untuk memohon dan alhamdulillah, permohonan saya diterima.
Ramai yang bertugas sebagai tutor sukarela di situ. Dalam seminggu, sebanyak 3 malam saya mengajar kelas tambahan Matematik dan Sains di rumah anak-anak yatim tersebut. Semakin lama di situ, saya semakin suka mengajar. Datang disambut dengan ucapan salam, balik dengan ucapan terima kasih dan anak-anak itu berebut-rebut untuk bersalam dan mencium tangan saya, wujud satu perasaan aneh dan kepuasaan yang tidak terhingga dalam diri yang sukar untuk saya gambarkan...apatah lagi apabila penyelia rumah tersebut memaklumkan kepada saya, ada peningkatan dalam pelajaran anak-anak itu.
Dan saya juga masih ingat, selepas minggu pendaftaran untuk pengajian sarjana, saya dan pelajar-pelajar lain dikehendaki menghadiri satu taklimat fakulti dan perjumpaan dengan para pensyarah. Dalam sesi suai kenal, seorang lecturer bertanya saya, "You mengajar ke?" Saya menggeleng kepala. "Eh, ape nak malu? Bagus ape jadi cikgu." Sangka beliau, saya malu untuk mengaku yang saya adalah seorang guru. Bila saya menerangkan yang saya adalah fresh grad dan belum bekerja, beliau mengangguk. "Look like a teacher," katanya. Saya sekadar tersenyum.
Saya juga selalu berulang ke rumah sewa adik saya di Shah Alam kerana dia belajar di situ. Saya suka menggunakan LDP dan terus ke ELITE melalui USJ. Setiap kali melalui tol USJ, saya selalu sangat terserempak dengan seorang pekerja tol yang sama. Orangnya lebih kurang sebaya saya, atau tua sedikit. Masuklah ke lorong mana pun, lalulah pada waktu bila pun, mesti terkena dia yang bertugas. Coincidence? Entah le. Dan dia sangat suka menyapa saya. "Baru balik cikgu?" kalau saya lalu pada waktu tengah hari. "Lewat balik cikgu." Kalau saya lalu pada waktu petang. Ada saja sapanya. Cikgu lagi! Ada rupa cikgu ke saya ni? Saya tidak pernah menjawab sapaannya, sekadar tersenyum dan terus berlalu. Sehinggalah pada satu petang, cuaca agak mendung, saya melalui tol itu sekali lagi dan dia lagi yang bertugas! Tol lengang dan dia sengaja lambat-lambat memulangkan baki bayaran tol. "Cikgu mengajar di mane?" tanya dia. "Saya bukan cikgu, saya student lagi." Jawab saya baik-baik. "Ish, tak baik tipu...cakap le, saya bukan nak ngurat cikgu." Sudah budak ni, sembang apa ni?! Hujan dah mula merintik, saya teringat baju di ampaian rumah. "Saya pun tak ingin mengurat awak," jawab saya dalam hati! Kalau bukan kerana palang tol yang tak diangkat, dah lama saya pecut kereta. Biar le tak dapat balik duit baki tu pun!
"Cakap le cikgu, cikgu mengajar kat mane?" sambil tersengih-sengih, dia masih tak mahu mengalah. "Kat Putrajaya," saya pun bohong dia. Dah, orang cakap tak percaya sangat! Kebetulan masuk satu kereta ke lorong saya dan saya menarik nafas lega bila dia terpaksa 'melepaskan' saya. "Baik-baik drive ye cikgu," sempat lagi dia pesan. "Banyak le awak punya cikgu!" marah saya dalam hati. Sejak itu, saya tidak pernah lalu lagi di USJ. Saya sanggup melalui Salak Tinggi, biar jauh dan mahal sedikit, tapi saya selesa. Hidup sendirian di kota besar mengajar saya supaya banyak berhati-hati dalam apa situasi sekali pun.
Tapi, agaknya itulah doa-doa yang menjadikan saya seorang guru hari ini
Selepas tamat pengajian, saya kembali ke negeri kelahiran dan sempat bekerja dengan sebuah syarikat perunding alam sekitar...tapi tidak bertahan lama...cuma seminggu, kerana saya rasa saya tidak ada keserasian dengan kerja tersebut, walaupun tugasannya sesuai dengan kelayakan akademik saya. Saya tidak mampu memaksa diri. Oleh sebab saya ada minor dalam bidang ekonomi, saya kembali ke Kuala Lumpur dan mencuba kerjaya dengan sebuah syarikat kewangan. Setiap hari, saya rasa seolah-olah terpaksa untuk ke tempat kerja dan langsung tidak gembira dengan kerja-kerja yang saya lakukan. Hari-hari abg chik terpaksa mendengar rungutan saya, kan?
Akhirnya, saya nekad untuk berhenti! Lama jugak saya jadi penganggur terhormat. Syukurlah keluarga tidak bising. Kalau ada yang bertanya, saya suka jawab yang saya nak berehat kejap sebab saya belum pernah bercuti panjang! Saya mula masuk tadika ketika berumur 4 tahun, kemudian belajar di sekolah rendah selama 6 tahun, sekolah menengah 5 tahun, matrikulasi 1 tahun, ijazah sarjana muda 3 tahun dan sarjana selama 2 tahun. Selepas habis first degree, saya terus sambung untuk Masters dan saya tamat pengajian peringkat sarjana ketika berusia 24 tahun.
Campur tolak, darab bahagi, bermakna saya dah belajar hampir 20 tahun! So, alasan nak berehat tu ada logiknya. Sebenarnya saya mencari-cari kerja yang saya suka dan ikhlas untuk dibuat. Dan saya mahu bekerja dekat dengan keluarga kerana sejak tinggal di asrama pada usia 13 tahun, saya sudah 11 tahun merantau ke tempat orang. Dari Perlis ke Negeri Sembilan, langsung ke Kota Kinabalu dan sambung ke Bangi, saya sudah jemu 'berumah tangga' di tempat orang. Akhirnya...saya kembali ke kampung laman dan bertemu kerjaya saya! Bumi Tuhan ini luas, rezeki ada di mana-mana.
" Dan apakah mereka tidak memperhatikan bahawa sesungguhnya Allah melapangkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Dia (pula) yang menyempitkan (rezeki itu). Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang beriman."(37, a-Rum)
Tuesday, June 19, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment