Tuesday, June 19, 2007

MALAS ITU PEMALAR KALAU...

Rata-rata pelajar saya ini lemah dalam Matematik, ada sorang dua je yang betul-betul boleh tahan. Maka saya perlu selalu memikirkan kaedah yang sesuai untuk mengajar mereka. That's the most challenging part!

Habis je topik ungkapan algebra, saya menyambung tajuk rumus algebra untuk Matematik Ting. 3. Konsep asas pertama yang mesti pelajar faham dalam tajuk ini adalah berkenaan pemboleh ubah dan pemalar (variables and constants).

Saya pun berceloteh panjang nak memahamkan mereka tentang konsep-konsep asas tersebut. Waktu saya menerang dan memberikan contoh mengenai pemboleh ubah dan pemalar ni, ada sorang dua pelajar di belakang kelas yang sungguh tawadhu', asyik mengangguk je...tido le tu! Ada sorang pelajar yang betul-betul menarik perhatian saya, Azwande. Tidonye lain macam, tersengih-sengih...berangan agaknya!

"Azwande, apa contoh pemalar?" terkejut dengan pertanyaan saya, dia terus angkat kepala dan menjawab, " malas." Entah bila saya mengajar begitu, suka-suka hati dia je menjawab. Tetapi saya tidak marah.

"Ya betul...malas itu satu pemalar kalau sejak dari Darjah 1 lagi sampai le sekarang dah Tingkatan 3 ni pun, kamu masih lagi malas. Malas kamu itu tidak pernah berubah, 'nilainya' tetap...maka itulah pemalar. Terima kasih kepada Azwande kerana memberikan satu contoh yang sangat baik," saya menjawab sambil tersenyum. Berderai tawa seisi kelas. Dia cuma tersengih malu.

Kini, setiap kali sebelum memulakan pelajaran, saya pasti akan bertanya dia, "Azwande, malas kamu masih pemalar atau sudah jadi pemboleh ubah?" Dia akan ketawa mendengar pertanyaan saya.

BIARLAH HUJAN TURUN...

Sekarang ini musim hujan. Saya paling suka kalau hujan turun pada sebelah malam. Kalau waktu Maghrib tu kilat dan guruh dah mula berdentum, saya berdoa panjang moga hujan rahmat akan turun. Bukan sekadar enak untuk melelapkan mata, tapi saya gembira untuk ke sekolah esoknya.

Sekolah saya terletak betul-betul di kaki sebuah bukit. Besar bukitnya. Saya selalu takut nak pandang ke arah bukit tu directly sebab banyak sangat nampak guanya...takut ternampak makhluk yang bukan-bukan. Bentuk-bentuk batu yang terbentuk akibat proses luluhawa dan hakisan kadang-kadang menyeramkan saya. Lagi satu, bukit tu selalu mengganggu line handset. Kalau guna 012, jenuh 'mengusung' handset untuk mencari line! Tapi ada satu perkara yang paling saya suka tentang bukit tu.

Bila hujan pada malam hari, esoknya kabus tebal akan terbentuk dari puncak hinggalah ke kaki bukit...bahkan selalu juga akan ada kabus dalam kawasan sekolah. Udara jadi sangat dingin dan nyaman. Saya suka sangat! Rasa sihat dan segar bila menyedut udara di kaki bukit itu. Lapang fikiran. Sungguh tenang dan sangat mendamaikan! Orang alam sekitar seperti saya, instict terhadap alam memang kuat. Kalau malamnya hujan, esoknya saya akan pegi ke sekolah lebih awal dari hari-hari lain. Saya suka berjalan-jalan dalam kawasan sekolah, meredah kabus menyedut udara segar...rasa macam kat Bukit Fraser pulak!

SIAPALAH YANG AKAN MENGAJI UNTUK SAYA?

Langsung terkesan dengan peristiwa di rumah Afif, bila saya masuk mengajar ke kelas Ting. 6 pada hari berikutnya, saya jadi sebak. Di akhir kelas, tanpa sedar saya bertanya perlahan, "Kalaulah saya mati, siapalah yang akan mengaji untuk saya macam kamu mengaji untuk arwah mak Afif?" Kelas hening seketika. Air mata yang sudah bergenang saya tahan sungguh-sungguh. Saya tidak mahu menangis di hadapan anak-anak ini! "Kami ada ustazah." Saya tidak tahu siapa yang menjawab begitu, tapi perkataan-perkataan itu sangat jelas masuk ke telinga saya saat saya sedang mengempang sendu yang hampir pecah.

"Esok, lusa, tahun depan...bila-bila sekali pun..kalaulah kamu semua dengar saya meninggal, kalau kamu tak suka saya pun, saya mintak, tolonglah hadiahkan sekurang-kurangnya Fatihah untuk saya. Saya ni bukan ada siapa-siapa...mak ayah je. Adik beradik pun tak ramai." Saya menitipkan pesan. "Tak apa ustazah, nanti Wan mesti suruh anak-anak dia mengaji sekali untuk ustazah, dia kan baik?" usik Ainun. Spontan saya tertawa bila terpandang wajah Wan Ismail, pelajar terbaik SPM tahun lalu yang tersenyum malu. Aduhai anak-anak didikku!

"Di sanalah Zakaria berdo'a kepada Tuhannya seraya berkata, "Ya Tuhanku, berilah aku dari sisi Engkau seorang anak yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Pendengar Do'a."
(38, ali-Imran)

"Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan solat, ya Tuhan kami, perkenankanlah do'aku."
(40, Ibrahim)

DARIPADA-NYA KITA DATANG, KEPADA-NYA JUALAH KITA AKAN KEMBALI. AL-FATIHAH...

" Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sahajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan."
(185, ali-Imran)

Setelah 2 minggu cuti penggal, saya kembali ke sekolah dengan timbunan kertas-kertas jawapan peperiksaan yang telah ditanda. Dalam sibuk-sibuk review kembali soalan-soalan peperiksaan dengan para pelajar, pagi Ahad tu, 10 Jun 2007, saya menerima khabar, ibu kepada pelajar saya, Afif, kembali ke rahmatullah akibat breast cancer. Saya tergemap dalam keharuan. Afif, yang pernah saya guris perasaannya secara tak sengaja sebelum ini (saya bercakap tentang ayah, sedangkan saya tidak tahu ayahnya telah meninggal dunia) kini kehilangan ibu pula. Ayahnya kembali menghadap Ilahi bulan Disember yang lalu, selang 6 bulan ibunya pula yang menyusul. Beratnya dugaan yang Allah berikan kepadanya. Si bongsu baru berusia 8 tahun. Saya tidak mampu membayangkan situasinya. Kalaulah saya yang ditimpa ujian demikian, saya pun tidak pasti adakah saya mampu untuk melaluinya dengan tabah. Anak didik yang saya kenal ini memang kuat semangatnya. Dan saya mendoakan semoga kekuatan itu terus kekal bersamanya, amin.

Salam takziah untuk Afif sekeluarga. Al-fatihah untuk Allahyarhamah bonda.

Satu hal yang saya sangat terkilan, saya pernah berjanji dengan dia untuk menziarahi ibunya sebelum ini. Dah 2, 3 kali saya lalu depan rumahnya dalam perjalanan nak ke mana-mana, tapi tak pernah berkesempatan untuk singgah. Kadang-kadang saya lalu seorang diri, rasa segan nak singgah. Bila lalu bersama emak, ada sahaja yang menghalang...dah nak Maghrib le, hujan le, nanti le hari lain le singgah...macam-macam alasan. Akhirnya, saya mendapat khabar duka ini. Itulah bahananya kalau suka sangat menangguh-nangguh!!

Waktu rehat, saya dan guru-guru lain mencuri kesempatan untuk menziarahi keluarganya. Sewaktu kami sampai, saya lihat pelajar-pelajar Tingkatan 6 semuanya sudah ada di situ. Rupanya mereka bertolak lebih awal dari kami. Hati saya sangat tersentuh bila melihat anak-anak berwajah jernih itu bersila sopan bersama Afif dan sedang mengaji tidak jauh dari jenazah. Di satu sudut lain, pelajar perempuan juga sedang melakukan perkara yang sama. Tanpa disuruh, tanpa dipaksa...semuanya dilakukan atas keikhlasan dan kesedaran diri masing-masing. Yang lelaki menunggu sehingga selesai solat jenazah dan jenazah dikebumikan.

Duhai...itulah antara sebabnya kenapa saya sangat mencintai dunia pendidikan berbanding bidang kerjaya yang lain. Di mana kan saya ketemui anak-anak sebaik ini kalau bukan dalam dunia pendidikan? Afif, Wan, Akkal, Akmal, Shafiq, Amirah, Ainun, Aishah, Wani dan Fariza...kalian anak-anak yang sangat membanggakan saya! Akhlak anak-anak bermula dari rumah membawa ke sekolah. Ibu bapa dan guru sama-sama mengajar dan mendidik. Aduhai guru, berbahagialah kalian kiranya anak-anak didik kalian 'menjadi' akhlaknya, cerminan kejayaan hasil didikan kalian. Padan benarlah guru digelar mualim, muadib, mursyid dan murabbi.

MACAM-MACAM ADA!

Abah saya seorang guru, emak saya seorang guru, abang saya seorang guru dan saya pun seorang guru (kalau boleh dipanggil guru). Bezanya abah, mak dan abang adalah guru terlatih yang diiktiraf dari maktab dan universiti. Saya pulak, guru yang berlatih sendiri! hehehe..

Abah dan mak saya mengajar subjek Bahasa Melayu, abg saya lulusan al-Azhar mengajar Bahasa Arab dan saya mengajar Bahasa Inggeris (juga Matematik). Cuti penggal pertama, semua berkumpul di rumah dan berlonggoklah kertas-kertas jawapan peperiksaan. Masing-masing sibuk menanda kertas jawapan. Satu petang, ibu saudara saya datang ke rumah, "ni bahasa melayu, ni bahasa arab, ni bahasa inggeris...amboi, semua ada!" Sampuk adik saya, "tak pe, nanti orang ajar Mandarin ke Tamil ke pulak!" 1 rumah, banyak bahasa, meriah jadinya!

Macam-macam rupa jawapan pelajar saya...yang bahasa Inggeris, tunggang terbalik grammar nya...broken English pun ada! We can 'letak' security...Pasaran saham yang sepatutnya 'stock market', dah jadi 'share market' (ntah siapa yang ngajar)...kata ganti nama untuk she, he, her, his pun masih tertukar-tukar lagi....belum lagi present past tense nya! Yang sekadar salin soalan balik pun ada! Dalam geram, saya sakit perut jugak tergelak bila baca jawapan budak-budak ni. Siap korang bukak sekolah nanti!!

SELAMAT HARI GURU


Berburu ke padang datar,
Dapat rusa berbelang kaki,
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.

16 Mei...dari jam 6.30 pagi lagi handset saya sudah sibuk. Mesej masuk bertalu-talu untuk ucapan hari guru. Hari doktor tak ada, hari lawyer tak ada, hari engineer tak ada, hari perunding alam sekitar pun tak ada! Maka, saya berbangga menjadi seorang guru J Kali pertama saya menyambut hari guru sebagai seorang guru, memang sangat indah perasaannya. Saya mendapat hadiah pasu comel berwarna hijau pucuk pisang daripada pelajar-pelajar Ting.6...sangat comel! Terima kasih

Walaupun minggu peperiksaan, pelajar-pelajar masih sempat lagi mengucapkan Selamat Hari Guru...saya sangat menghargainya. Dalam banyak-banyak ucapan sama ada secara lisan mahu pun mesej yang saya terima, ada satu mesej yang sangat mengesankan jiwa saya, "Selamat Hari Guru ustazah. Semoga terus kekal dengan kerjaya ini." Ya, doa saya pun begitulah. Saya mahu terus menjadi guru, kalau diizinkan Allah.


SELAMAT HARI GURU UNTUK SEMUA WARGA PENDIDIK...TERUTAMA UNTUK BEKAS GURU-GURU DAN PENSYARAH SAYA. KERANA JASA KALIANLAH, SAYA BERADA DI SINI HARI INI.

CABUT RUMPUT? ISH, MACAM LEMBU LA PULAK!

Selepas habis beberapa subtopik untuk tajuk Matriks dalam Matematik ting. 5, saya membuat semakan in class untuk kerja-kerja sekolah pelajar. Wah...semua pelajar lelaki tak buat kerja sekolah!! Marah mula bertapak di hati. Mujurlah pelajar-pelajar perempuan ramai yang rajin-rajin. Sorang-sorang saya ajukan soalan kenapa tak buat kerja rumah yang saya beri. Jawapannya mudah, tapi cukup menyakitkan hati saya, "tak reti le ustazah."

"Kalau tak reti, kenapa tak tanya saya? Dah berpuluh kali saya pesan, kalau tak faham tanya saya. Kenapa tak de sorang pun yang datang jumpa saya untuk bertanya? Dah seminggu lebih kita belajar bab matriks ni!" Saya beristighfar dalam hati, mahu mengawal darjah kemarahan yang semakin meningkat. Mentang-mentang saya baik dengan diaorang selama ni, ambik kesempatan ye?! Spontan saya keluar dari kelas dan pegi ke bilik guru disiplin, pinjam rotan.

"Ok, nampak tak rumput kat padang tu? Sekarang pilih, nak kene rotan ke nak cabut rumput?" saya memberi pilihan kepada mereka. "Rotan le ustazah." Jawab dia orang ramai-ramai. Saya sebenarnya langsung tak berniat nak merotan mereka. Menjentik telinga adik-adik pun saya tak gamak, inikan pulak nak merotan anak-anak orang. Sengaja je saya pinjam rotan tu, nak menakutkan dia orang.

"Ok, semua keluar pegi padang. Saya nak kamu cabut semua kemuncup yang ada kat padang tu, 10 minit!" saya memberi arahan. "Ala, rotan le ustazah. Segan le cabut rumput." 2,3 orang pelajar cuba merayu simpati. "Takde, keluar sekarang," saya bertegas. "Lor, tadi kata boleh pilih nak rotan ke cabut rumput," rungut sorang pelajar.

"Saya suruh kamu buat kerja rumah dan kamu memilih untuk tak ikut suruhan saya tu. So, sekarang saya juga berhak memilih untuk tidak mengikut permintaan kamu." Sejak menjadi cikgu ni, saya memang dah pandai bab-bab menjawab dengan pelajar ni. Maka keluarlah pelajar-pelajar ini ke padang tak jauh dari kelas dia orang. Saya mengikut dari belakang. Matahari pukul 10 pagi dah agak terik. Seluruh tingkatan 1 sampai 3 menjenguk-jenguk keluar kelas melihat apa yang sedang dilakukan oleh pelajar-pelajar senior mereka, termasuklah guru-guru.

"Malu?" tanya saya kepada sorang pelajar. "Alah, muka kami memang dah famous sangat bab-bab kena denda ni ustazah. Orang pun dah tak heran," jawab pelajar tersebut.

"Tapikan...banyak-banyak kene denda, inilah kali pertama kami kene denda cabut rumput camni. Ish, macam lembu le pulak!" sampuk sorang temannya. "Tau tak pe," saya menjawab selamba. Jangan tanya apa logiknya saya menghukum mereka mencabut rumput, kerana waktu itu, hanya itulah option yang saya terfikir!

PENGETUA MUDA

Pengetua sekolah saya memang sibuk sebab beliau bukan sepenuh masa berada di sekolah. Beliau seorang pensyarah di sebuah IPT. Sekolah tempat saya mengajar ni diasaskan oleh Allahyarham ayahnya. Oleh sebab beliau satu-satunya anak yang berkelulusan tinggi dalam bidang agama, maka beliaulah yang mewarisi pentadbiran sekolah ini. Beliau memang terkenal, banyak menghadiri jemputan ceramah, forum agama dalam dan luar negeri, dan banyak terlibat dengan jabatan agama. Kami guru-guru memang dah memahami rutin sibuknya itu. Lazimnya, kalau ade apa-apa mesyuarat/taklimat yang berkaitan dengan pengetua, kalau beliau tak dapat hadir, PK yang akan menggantikannya.

Awal bulan Mac, seorang ustazah bagitau, saya diminta menggantikan pengetua untuk hadir ke Taklimat Khas Pengurusan Peperiksaan Awam Untuk Pengetua-Pengetua. Taklimat ni diadakan di Pulau Pinang. Saya terkejut! Saya mewakili pengetua?? Biar betul! Saya baru 2 bulan je ngajar. "Kenapa PK tak pegi?" saya tanya kat ustazah tu. Dan saya dimaklumkan PK ade mesyuarat lain...guru-guru lain ade yang terlibat dengan program sukan sekolah2 agama le, taklimat pentaksiran le...dan saya yang agak lapang...bujang, tak de masalah nak tinggal anak ke ape. Saya termanggu. Pengetua? Dah terbayang dalam kepala, pengetua tu lazimnya guru-guru yang berusia 40, 50 tahun ke atas. Saya? 25 tahun! hikhikhik...

Akhirnya, saya pegi jugak ke taklimat tu, dihantar oleh abah. Saya ambik ini sebagai satu peluang untuk menambah pengalaman, walaupun dalam hati, gementar tu Allah je yang tau! Oleh sebab Penang selalu sesak dan saya berkejar masa kerana perlu mendaftar sebelum pukul 5 ptg (sebelah paginya saya pegi mengajar dulu), kami decided untuk pegi dengan bas je dan naik feri ke pulau. Dah lama tak naik feri Pulau Pinang, lebih kurang 10, 11 tahun. Selalu naik jambatan je. Tak banyak yang berubah, tapi saya tetap excited. Untung jugak datang ni. Kalau tak, ntah bila boleh naik feri ni.

Registration di kaunter pendaftaran untuk check in hotel, petugas Jabatan Pelajaran Negeri pandang saya atas bawah. Mujur juga saya pegi dengan abah (juga seorang pendidik), dan yang terlibat dengan program ni kebanyakannya adalah kenalannya. Tak susah saya nak explain situasi saya. Saya sebilik dengan pengetua dari sebuah sekolah agama...the real pengetua! Pandai-pandai le bawa diri. Akhirnya, jadilah saya 'pengetua' paling muda dalam sejarah sepanjang 1 hari 1 malam taklimat itu berlangsung.

Pada yang pandang dengan heran-heran tu, saya cuma tersenyum je! Saya cuba menjalankan tugas sebaik mungkin di celah-celah uncles and aunties tu, mencatat segala yang perlu untuk dibentang bila balik ke sekolah nanti. Pulang ke sekolah, PK tanya, "seronok jadi Pengetua?" Rasa nak marah pun ada. Dia tak tau 'seksanya' berprogram dengan golongan 'veteran' yang profesional di Pulau Pinang tu! Pengalaman yang sangat berharga dan bukan semua orang dapat merasai peluang macam tu.

SELAMAT HARI JADI, USTAZAH…

Sekolah saya ini terletak dalam kawasan kampung. Rata-rata penduduk di situ adalah petani dan ada yg menternak lembu. Sekolah, walaupun dikelilingi pagar, tapi kadang-kadang ada jugak lembu yg terlepas masuk ke kawasan sekolah. Tau le org kg bela lembu camne..bukan reti tambat..kalau tak, tak de le kes berebut anak kerbau kat Kelantan tak lama dulu tu, sampai kena buat ujian DNA pulak.

Hari tu, 2 waktu terakhir persekolahan, jadual saya adalah di kelas Tingkatan 6 untuk subjek Bahasa Inggeris. Waktu berjalan dari bilik guru ke kelas Ting. 6, saya dah perasan ada 2, 3 longgok tahi lembu atas tar, betul-betul ngadap ke kelas Ting. 6...ignore jelah...nasib baik dah kering, so tak delah berbau. Saya ngajar seperti biasa. 1.30 loceng bunyi, saya masih rancak berbincang dgn students tentang speaking task dalam MUET. Lepas azan Zohor tamat baru kami tamatkan kelas. Keluar je dari kelas, saya bergegas untuk ke pejabat, nak tandatangan buku keluar-masuk. Di belakang saya pelajar-pelajar lelaki ting.6. Belum jauh saya jalan,

"ustazah, baik-baik kat depan tu!" Saya pantas menoleh kepada mereka, "ada apa?". "Tu, kat depan tu ada taik lembu!" selamba je budak-budak tu bagitau...hah, saya baru terperasan…aduh, nyaris kasut saya terbenam dalam longgok najis tu!! "Ish..nasib baik tak pijak lagi! kalau pijak….", saya menggumam. Budak-budak tu ketawa panjang. "kalau pijak, SELAMAT HARI JADI la ustazah!" sambut sorang pelajar sambil berderai tawa mereka. "Kenapa pulak?" tanya saya. "Selamat hari jadi la...kan kek Raja Sulaiman tu!" jawab Akkal sambil ketawa kuat. Saya teringat citer sang kancil ngan harimau yang pernah kami borak-borak dalam kelas tak lama dulu. Eh, budak-budak ni!!

I'DUL ILMI ???

Tau i'dul ilmi? Saya tak penah belajar kat sekolah agama. Zaman belajar, tak pernah jumpa pun perkataan2 ni. Mula2 dengar istilah ni, saya tercengang la kejap! Ape ke bende i'dul ilmi ni? I'dul fitri ngan i'dul adha tau le! kekekek. Waktu rehat ade sorang ustaz datang ke bilik guru perempuan (bilik guru lelaki dan perempuan adalah berasingan, mmg selesa!). Ustaz tu bagitau, "pukul 12.30 nanti ade mesyuarat guru ye.. nak bincang pasal i'dul ilmi." Ustazah2 lain mengangguk mengiakan je. Saya terkebil..mesyuarat ape?? Dalam malu2 segan, saya pun tanya ustazah di sebelah, "Kak Mah, i'dul ilmi tu apa?" ustazah tu senyum panjang..

"sekolah lain panggil hari anugerah." tenang je dia jawab. "hari anugerah?" saya masih terkulat-kulat. "hari penyampaian hadiah...utk periksa tahun lepas," sorang ustazah lagi menyampuk, mungkin tau yg saya masih tak faham2 lagi. Ooo..hari anugerah cemerlang, hari penyampaian hadiah. Belajar kat boarding school dulu, lidah lebih fasih sebut "Annual Day"..hehehe. Alhamdulillah, makin bertambah vocab Bahasa Arab saya.

Hari ini, alhamdulillah, lidah dan telinga saya dah makin serasi dengan common words ni...tobur tu perhimpunan yang saya panggil assembly, i'dul ilmi tu hari anugerah yang saya panggil annual day, muqorrat tu sukatan pelajaran yang saya panggil syllabus...result exam, saya dah lebih selesa sebut natijah...syafawi tu oral (ujian lisan)...banyak lagi la. Dan saya tak segan lagi bertanya kalau saya tak tau. Dengan budak-budak pun saya bertanya kalau saya tak faham. "Sanah helwa jamil tu maksud dia apa?" saya pernah tanya kat pelajar Tingkatan 5 dan 6. Mengajar dan belajar, memang seronok!

TOBUR ??

Suatu pagi Selasa dalam bulan Januari, seperti hari-hari lain, saya memang sampai awal ke sekolah. Rumah saya tak jauh dari sekolah...5 minit je kalau drive. Lepas tulis nama kat buku keluar-masuk di pejabat, saya terus ke bilik guru sementara yang terletak di bangunan belakang, menumpang di library. Semua kelas pembelajaran, kecuali kelas Ting. 6 pun terletak di bangunan belakang utk sementara waktu ni sbb bangunan depan berdekatan dgn pejabat sedang dinaik taraf. Lecehnye duduk di belakang ni, kalau ade ape2 hal yg berlaku di depan, mmg lambat kami dapat tau kalau tak de ustazah2 yang pegi ke pejabat atau ke kelas ting.6.

Hampir 10 minit saya kat bilik guru, tak de lagi ustazah2 yg sampai. Heran betul! Selalu waktu2 gini dah ramai yg sampai. Dan saya pun terperasan yg pelajar2 tak de yg dtg ke kelas lagi. Ai...tak sekolah ke hari ni? Dalam saya heran2 tu...tiba2 sorang ustazah masuk dan letak beg, "Eh, jom pegi tobur!" ajak dia. Tak sempat saya tanya, dia terus keluar dan hilang. Pegi tobur? tobur tu ape? pegi ke mana? Aduhhh...! Saya pun cepat2 keluar dari bilik guru, cuba untuk bersaing dengan ustazah tu. Tengok dia menuju ke arah pejabat. Depan pejabat tu ada satu kawasan tanah lapang. Dari jauh, saya nampak pelajar2 dah ramai berkumpul di situ. Eh, ade ape ni?

Sampai je kat situ, saya tengok semua guru dan pelajar dah ada kat situ. 2,3 org pengawas lelaki tengah sibuk handle PA system. Saya pun berdiri terpacak di sebelah guru2 perempuan yang lain. Heran, tapi masih segan nak bertanya. Lima minit majlis berlangsung...oooohhh, saya dah dapat tangkap tobur tu ape. Perhimpunan laaa! Dulu zaman sekolah, saya panggil "assembly"! hehehe. Rupa-rupanye di sekolah ni, perhimpunan dibuat pada hari Selasa, 2 minggu sekali. Padan le tak de ditulis dalam jadual waktu.

"ASSALAMUALAIKUM USTAZAH."


Hari pertama, melangkah je masuk ke dalam kelas, pelajar-pelajar terus bangun, "Assalamualaikum ustazah." Ustazah? Saya kerutkan dahi. Eh, saya bukan ngajar subjek agama atau bahasa Arab..apesal budak-budak ni panggil saya ustazah? Saya dah gelabah! Kalau ikut jadual, takkan dia orang tak tau saya mengajar subjek Maths? Salah faham ke?

Rupa-rupanya di sekolah ni, semua guru perempuan dipanggil 'Ustazah', tak kira le ngajar subjek ape pun, dan guru lelaki dipanggil ’Ustaz’. Ustazah tu kan bermaksud guru, cikgu jugak. Di kalangan guru, saya satu-satunya guru yang tidak ada latar belakang sekolah agama. Guru-guru lain semuanya adalah bekas pelajar sekolah agama, maka panggilan 'ustazah' tu adalah biasa di kalangan mereka. Bagi saya, saya tak dapat nafikan yang saya sangat malu dipanggil ustazah.
Dalam kotak minda saya, 'Ustazah' tu gelaran yang sangat mulia, orang yang baik akhlak, yang tinggi ilmunya...rasa tak layak gelaran tu untuk saya! Bila memikul gelaran itu, takut saya untuk melakukan apa-apa kesalahan...takut menjatuhkan martabat gelaran tersebut. Mujurlah saya juga mengajar Bahasa Inggeris...ada sesetengah pelajar yang suka memanggil saya "Teacher"...tak de la saya segan sangat. Kalau 'teacher' yang ketuk kepala murid dengan kasut tumit tinggi, orang tak de la heran sangat...tapi kalau 'ustazah' yang buat camtu, "nama je Ustazah, taaapii...." Itu mentaliti masyarakat!

Lama-lama saya dah biasa dengan panggilan itu...rasa seronok pulak! Mudahan-mudahan jadi doa yang baik untuk saya, amin.

Maka, bermulalah tugas saya sebagai seorang guru. Saya diminta oleh Pengetua untuk mengajar subjek Matematik dan Bahasa Inggeris untuk Tngkatan 3 hingga 6. Saya lebih berminat untuk mengajar subjek Sains, tapi oleh kerana dah ada guru yang mengajar Sains dan guru itu antara yang paling lama mengajar di sekolah itu, saya terima dengan lapang dada arahan pengetua tersebut. Bila jadual waktu guru disusun, tak de cikgu untuk mengajar subjek Bahasa Melayu Ting.6 dan saya disuruh mengajar subjek tersebut. Matematik, English, Bahasa Melayu...saya sudah jadi all rounder. Macam le pandai sangat! Hehehe...

Tugas saya bukan sahaja untuk mengajar tapi juga untuk mendidik. Mengajar itu mudah, tapi mendidik itu sangat sukar!

Guru yang sederhana, MEMBERITAHU,
Guru yang baik , MENERANGKAN,
Guru yang lebih baik , MENUNJUKKAN,
Guru yang paling hebat, memberi INSPIRASI.

JADI CIKGU??

Untuk jadi guru terlatih, saya tidak layak kerana saya tidak ada kelayakan ikhtisas. Oleh kerana abah saya seorang guru, bila saya tak dapat KPLI, dia cadangkan kepada saya mohon jadi guru sandaran di mana-mana sekolah melalui PPD. Bila saya fikir-fikir, guru sandaran ni leceh sebab macam guru ganti je. Nanti bila ada guru tetap, saya kena berhenti...lepas tu apply lagi. Dah le gaji lambat, takkan le saya nak mintak duit kat mak abah lagi. So, saya decided untuk memohon mengajar di sekolah swasta. Gaji bukan perkara utama. Yang penting saya dapat melakukan perkara yang saya suka.

Dalam daerah saya, ada sebuah sekolah rendah integrasi yang sangat terkenal dan tak jauh dari rumah saya, ada sebuah sekolah agama rakyat. Saya cuba hantar resume ke kedua-dua buah sekolah. Sekolah rendah integrasi adalah sekolah pertama yang called saya untuk interview. Jauh jugak sekolah ni dari rumah saya. Mudir sekolah 3, 4 kali bertanya sungguh-sungguh ke saya nak mengajar bila beliau tengok sijil-sijil saya. Alasannya, dia takut saya hanya transit saja di situ...dapat kerja lain, saya minta berhenti. Saya hanya jawab yang saya ikhlas memohon mengajar di situ...kalau rasa saya tidak sesuai, tak apa. 3 hari selepas interview, saya dapat jawapan yang sangat menggembirakan. Kemudian, sekolah agama rakyat juga menghubungi saya dan selepas sesi temuduga, kerani sekolah called untuk maklumkan yang saya diterima mengajar di situ. Oleh sebab SAR lebih dekat dengan rumah saya, dan saya pun dah biasa dengan sekolah tu, so saya decided untuk mengajar di situ.

Bila dapat tahu saya mengajar di SAR, ada juga suara-suara sumbang yang 'menyumbangkan' suara mereka untuk saya, " Laaa...belajar sampai Master, last-last balik mengajar di sekolah agama rakyat!" Saya cuma pekakkan telinga kerana dalam suara-suara sumbang yang memperlekehkan itu, masih ramai yang menyokong saya. Terima kasih untuk keluarga dan sahabat-sahabat yang sangat memahami! Tidak kira di sekolah mana, hatta kalau di tadika sekali pun, saya tetap bahagia menjadi seorang guru!

JAUH-JAUH SELUANG MELAUT...

Saya pun tak pasti bila sebenarnya lahir kecintaan saya untuk menjadi seorang guru. Semasa di peringkat sekolah, saya tidak pernah bercita-cita untuk menjadi seorang guru! Belajar di sebuah sekolah berasrama penuh (sekolah menengah sains), saya lebih berminat untuk menjadi seorang saintis, dan alam sekitar adalah antara minat saya. 'Rasa' untuk menjadi seorang guru telah ada ketika hujung-hujung pengajian saya di universiti. Dan perasaan itu bertambah kuat sewaktu saya menyambung pengajian di peringkat sarjana. Ketika itu saya tinggal menyewa dan saya mendapat tahu sebuah rumah anak-anak yatim sedang mencari sukarelawan untuk mengajar dan membantu anak-anak tersebut dalam pelajaran. Saya memberanikan diri untuk memohon dan alhamdulillah, permohonan saya diterima.

Ramai yang bertugas sebagai tutor sukarela di situ. Dalam seminggu, sebanyak 3 malam saya mengajar kelas tambahan Matematik dan Sains di rumah anak-anak yatim tersebut. Semakin lama di situ, saya semakin suka mengajar. Datang disambut dengan ucapan salam, balik dengan ucapan terima kasih dan anak-anak itu berebut-rebut untuk bersalam dan mencium tangan saya, wujud satu perasaan aneh dan kepuasaan yang tidak terhingga dalam diri yang sukar untuk saya gambarkan...apatah lagi apabila penyelia rumah tersebut memaklumkan kepada saya, ada peningkatan dalam pelajaran anak-anak itu.

Dan saya juga masih ingat, selepas minggu pendaftaran untuk pengajian sarjana, saya dan pelajar-pelajar lain dikehendaki menghadiri satu taklimat fakulti dan perjumpaan dengan para pensyarah. Dalam sesi suai kenal, seorang lecturer bertanya saya, "You mengajar ke?" Saya menggeleng kepala. "Eh, ape nak malu? Bagus ape jadi cikgu." Sangka beliau, saya malu untuk mengaku yang saya adalah seorang guru. Bila saya menerangkan yang saya adalah fresh grad dan belum bekerja, beliau mengangguk. "Look like a teacher," katanya. Saya sekadar tersenyum.

Saya juga selalu berulang ke rumah sewa adik saya di Shah Alam kerana dia belajar di situ. Saya suka menggunakan LDP dan terus ke ELITE melalui USJ. Setiap kali melalui tol USJ, saya selalu sangat terserempak dengan seorang pekerja tol yang sama. Orangnya lebih kurang sebaya saya, atau tua sedikit. Masuklah ke lorong mana pun, lalulah pada waktu bila pun, mesti terkena dia yang bertugas. Coincidence? Entah le. Dan dia sangat suka menyapa saya. "Baru balik cikgu?" kalau saya lalu pada waktu tengah hari. "Lewat balik cikgu." Kalau saya lalu pada waktu petang. Ada saja sapanya. Cikgu lagi! Ada rupa cikgu ke saya ni? Saya tidak pernah menjawab sapaannya, sekadar tersenyum dan terus berlalu. Sehinggalah pada satu petang, cuaca agak mendung, saya melalui tol itu sekali lagi dan dia lagi yang bertugas! Tol lengang dan dia sengaja lambat-lambat memulangkan baki bayaran tol. "Cikgu mengajar di mane?" tanya dia. "Saya bukan cikgu, saya student lagi." Jawab saya baik-baik. "Ish, tak baik tipu...cakap le, saya bukan nak ngurat cikgu." Sudah budak ni, sembang apa ni?! Hujan dah mula merintik, saya teringat baju di ampaian rumah. "Saya pun tak ingin mengurat awak," jawab saya dalam hati! Kalau bukan kerana palang tol yang tak diangkat, dah lama saya pecut kereta. Biar le tak dapat balik duit baki tu pun!

"Cakap le cikgu, cikgu mengajar kat mane?" sambil tersengih-sengih, dia masih tak mahu mengalah. "Kat Putrajaya," saya pun bohong dia. Dah, orang cakap tak percaya sangat! Kebetulan masuk satu kereta ke lorong saya dan saya menarik nafas lega bila dia terpaksa 'melepaskan' saya. "Baik-baik drive ye cikgu," sempat lagi dia pesan. "Banyak le awak punya cikgu!" marah saya dalam hati. Sejak itu, saya tidak pernah lalu lagi di USJ. Saya sanggup melalui Salak Tinggi, biar jauh dan mahal sedikit, tapi saya selesa. Hidup sendirian di kota besar mengajar saya supaya banyak berhati-hati dalam apa situasi sekali pun.

Tapi, agaknya itulah doa-doa yang menjadikan saya seorang guru hari ini

Selepas tamat pengajian, saya kembali ke negeri kelahiran dan sempat bekerja dengan sebuah syarikat perunding alam sekitar...tapi tidak bertahan lama...cuma seminggu, kerana saya rasa saya tidak ada keserasian dengan kerja tersebut, walaupun tugasannya sesuai dengan kelayakan akademik saya. Saya tidak mampu memaksa diri. Oleh sebab saya ada minor dalam bidang ekonomi, saya kembali ke Kuala Lumpur dan mencuba kerjaya dengan sebuah syarikat kewangan. Setiap hari, saya rasa seolah-olah terpaksa untuk ke tempat kerja dan langsung tidak gembira dengan kerja-kerja yang saya lakukan. Hari-hari abg chik terpaksa mendengar rungutan saya, kan?

Akhirnya, saya nekad untuk berhenti! Lama jugak saya jadi penganggur terhormat. Syukurlah keluarga tidak bising. Kalau ada yang bertanya, saya suka jawab yang saya nak berehat kejap sebab saya belum pernah bercuti panjang! Saya mula masuk tadika ketika berumur 4 tahun, kemudian belajar di sekolah rendah selama 6 tahun, sekolah menengah 5 tahun, matrikulasi 1 tahun, ijazah sarjana muda 3 tahun dan sarjana selama 2 tahun. Selepas habis first degree, saya terus sambung untuk Masters dan saya tamat pengajian peringkat sarjana ketika berusia 24 tahun.

Campur tolak, darab bahagi, bermakna saya dah belajar hampir 20 tahun! So, alasan nak berehat tu ada logiknya. Sebenarnya saya mencari-cari kerja yang saya suka dan ikhlas untuk dibuat. Dan saya mahu bekerja dekat dengan keluarga kerana sejak tinggal di asrama pada usia 13 tahun, saya sudah 11 tahun merantau ke tempat orang. Dari Perlis ke Negeri Sembilan, langsung ke Kota Kinabalu dan sambung ke Bangi, saya sudah jemu 'berumah tangga' di tempat orang. Akhirnya...saya kembali ke kampung laman dan bertemu kerjaya saya! Bumi Tuhan ini luas, rezeki ada di mana-mana.

" Dan apakah mereka tidak memperhatikan bahawa sesungguhnya Allah melapangkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Dia (pula) yang menyempitkan (rezeki itu). Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang beriman."(37, a-Rum)

Prolog

Blog ini sebenarnya cetusan ilham daripada penasihat, sahabat, pendorong bahkan mentor saya yang sangat saya hormati...abg chik (lidah penghunus)! Beliaulah antara penyokong kuat cita-cita saya untuk menjadi seorang guru dan beliau jugalah yang menggalakkan saya menulis di blog ini, berkongsi cerita kehidupan saya sebagai seorang guru (kalau layak dipanggil guru)...padahal saya bukan reti sangat bab-bab nak menulis ni. Pembikinan blog ini pun beliau yang sediakan sebenarnya, percuma! Saya sekadar menulis sahaja. Terima kasih yang tak terhingga untuk abg chik. Dedikasi sehingga ke akhir hayat! Allah jualah yang mampu membalas segala jasa baikmu dan syurgalah sebaik-baik ganjarannya, amin.

Pengisian blog ini adalah secara santai...tidaklah diskusi serius seperti di blog lidah penghunus. Saya sekadar ingin berkongsi cerita dan pengalaman menjadi seorang guru, biar pun bukan seorang guru yang terlatih. Latar belakang akademik saya lari jauh dari jurusan pendidikan. Saya graduan dalam bidang alam sekitar. Ijazah pertama saya dalam bidang alam sekitar dan ijazah kedua saya juga dalam bidang alam sekitar. Untuk PhD saya masih KIV, kalau-kalau ada rezeki untuk saya melanjutkan pengajian peringkat kedoktoran dalam bidang pendidikan, insya-Allah.

".....Dan barangsiapa yang mengerjakan suatu kebajikan dengan kerelaan hati, maka sesungguhnya Allah Maha Mensyukuri kebaikan lagi Maha Mengetahui."
(158, al-Baqarah)

Cetusan minda bermula daripada satu aksara

Guru...dalam ajarnya ada harapan, dalam tegurnya ada doa,
dalam marahnya ada sayang, dalam tawanya ada mesra,
dalam diam ada bijaksana.